Wednesday, October 26, 2011

Program Mingguan Kuiz Jom Mumtaz! 2011

   
بسم الله الرحمن الرحيم

     Alhamdulillah, seribu panjat kesyukuran kepada Allah swt, setelah beberapa kali ditunda, akhirnya Program Mingguan Kuiz Jom Mumtaz! berjaya dilancarkan pada tarikh yang berkeramat iaitu 25 Oktober 2011. Program tersebut tidak mungkin akan terlaksana tanpa kerjasama daripada Quiz Team yang diketuai oleh Saudara Faiz Bin Redzuan dan timbalannya Saudari Nurul Amira Shazalyna Binti Razali beserta ahli-ahli lain yang sama-sama berjuang bak kata pepatah yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Mereka adalah dari Tahun 1 jurusan perubatan. Untuk makluman, program mingguan ini disasarkan kepada pelajar berjurusan perubatan sahaja memandangkan subjek yang diambil pergigian adalah berlainan.


Program Mingguan Kuiz Jom Mumtaz! diadakan bagi mencapai objektif-objektif tersebut :
1) Menguji kefahaman pelajar-pelajar tentang silibus yang telah mereka pelajari.
2) Melazimkan pelajar-pelajar menjawab soalan-soalan berformat peperiksaan.



     Pada hari Rabu, 25 Oktober 2011, jam 8.00 malam, pelajar-pelajar telah mula berkumpul di Academic Center bagi memulakan Program Mingguan Kuiz Jom Mumtaz! buat pertama kalinya. Sebelum kuiz bermula, pelajar-pelajar telah diberikan taklimat tentang peraturan-peraturan menjawab soalan oleh pelajar-pelajar tahun atas yang dihormati. Terlihat muka-muka yang gentar namun tekad menghadapi ujian. Walaupun hanya kuiz tetapi para pelajar menghadapinya dengan begitu serius sekali.

      Berikutan taklimat tersebut, pelajar-pelajar telah diedarkan kertas-kertas soalan dan telah diberi masa satu jam bagi menjawab soalan-soalan yang diberikan. Soalan-soalan tersebut adalah berdasarkan dua bab pertama yang diambil daripada subjek 'Physiology' yang bertajuk 'Blood' dan 'Autonomic Nervous System'. Soalan-soalan tersebut juga terdiri daripada 15 soalan MCQ, 10 soalan 'True' or False' dan 2 soalan 'Essay' yang berjumlahkan 50 markah.


     Setelah masa yang diberikan satu jam berlalu, pelajar-pelajar telah diberikan arahan untuk menukar kertas-kertas soalan masing-masing dengan rakan sebelah bagi menyemak jawapan. Selepas itu, pelajar-pelajar tahun atas berbincang jawapan dengan mereka bersama-sama. Tepat pukul 10.00 malam, setelah pelajar-pelajar sekalian habis berbincang dan menanda kertas-kertas soalan rakan-rakan mereka, program kuiz sudah pun sampai ke penghujung untuk hari tersebut.

     Dengan semangat gah bak pahlawan Salahuddin Al-Ayubi,  usaha pejuang-pejuang Fisabilillah ini tidak akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi.  Kejayaan untuk mencapai MUMTAZ tidak mustahil. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada Quiz Team yang berjaya melaksanakan program ini. Tidak lupa kepada Saudari Izzati Ariff yang telah bertungkus-lumus menyediakan kertas soalan kuiz. Selain itu, segulung penghargaan dihulurkan buat semua pihak yang terlibat. Kerjasama anda semua amat dihargai.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".




                                                 Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi

No comments:

Post a Comment